KITA JAGA ISLAM ALLAH AKAN JAGA KITA

ISLAM DAH AJAR TAPI KITA YANG KURANG AJAR


Khamis, 30 April 2009

Kami Sokong Dengan Nyawa Dan Diri Kami!!!

Pembela pertahan umat Islam dari konflik tukar agama
Harakahdaily
Thu Apr 30, 09 11:41:31 am MYT

Kami pertubuhan-pertubuhan NGO Islam yang bergabung di bawah PEMBELA menyeru seluruh lapisan rakyat Malaysia agar bertenang dalam menghadapi kemelut berkenaan dengan isu agama yang tercetus kembali baru-baru ini susulan kes Muhammad Ridzuan Abdullah dan Indira Ghandi.


Seruan ini berasaskan pada kebimbangan kami bahawa isu ini boleh memberi kesan langsung kepada keharmonian hubungan di antara kaum di negara ini.

Perbicaraan ini masih dijalankan, baik di Mahkamah Syariah mahupun Sivil.

Justeru, PEMBELA berpandangan proses undang-undang perlu dibiarkan berjalan tanpa tekanan dari mana-mana pihak.

Kami ingin merayu semua pihak yang berkenaan dan pihak yang mempunyai kepentingan supaya jangan mengambil kesempatan dan memperalatkan perbezaan yang timbul di antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil.

Sehingga keharmonian undang-undang dapat dipersetujui, PEMBELA meminta semua pihak menghormati undang-undang syariah dan undang-undang sivil.

PEMBELA tetap mematuhi ajaran Islam dan akan terus melaksanakan tugas dan tanggungjawab membela hak-hak orang Islam dan masyarakat Malaysia secara umumnya secara adil dan saksama.

PEMBELA sedang menjalankan kajian mendalam berkaitan konflik undang-undang syariah dan sivil dan bersedia mencari penyelesaian dengan mana-mana pihak.

Dalam menangani sebarang konflik membabitkan perundangan syariah dan sivil, PEMBELA menyarankan satu penyelesaian jangka panjang harus diusahakan agar ia mampu membawa kebaikan kepada semua pihak terbabit.

Sebarang perbezaan pendapat harus disalurkan menerusi proses perbincangan ilmiah membabitkan pelbagai pihak agar semua perbezaan ini dapat diselesaikan serta tidak menjejaskan kestabilan negara.

Kami juga menyeru agar umat Islam berterusan dalam bermunajat kepada Allah SWT dengan mengadakan solat hajat dan berdoa agar penyelesaian isu ini dapat dicapai dengan baik dan keharmonian Malaysia dapat ditingkatkan atas semangat persefahaman, muhibbah dan setiakawan di antara semua kaum.

Kenyataan Media
Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)
29 April 2009 / 4 Jamadilawal 1430
Kami amat berharap Islam tidak lagi dijadikan jual beli oleh mereka yang celaka dan mencelakakan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BLOG

Arkib Blog